Monday 21 November 2011

Model ASSURE teknologi pendidikan


markah aku 26.49 drpd 30... ok la... tuk soalan model ASSURE... blh la amek tuk d jdkan tmbahan mklumat... smoga kalian d permudahkn tuk menyiapkan assgment korng k... gud LUCK...





FAKULTI PENDIDIKAN BAHASA

SEMESTER 1/2011

HBEF3103MAC 2011

PRINSIP TEKNOLOGI PENDIDIKAN





Pendidikan adalah asas utama dalam pembangunan sesebuah negara. Justeru itu, pengurusan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran harus dipertingkatkan untuk memastikan seseorang guru itu dapat mencapai kompetensi dalam pengajarannya. Pengajaran merupakan kegiatan-kegiatan tersusun yang dibuat khusus untuk murid-murid dengan tujuan membawa perubahan kedalam diri mereka. Kegiatan-kegiatan yang dijalankan oleh guru haruslah bertujuan membawa pengetahuan baru, mengubah kepercayaan dan dapat mengubah tingkah laku. Oleh sebab itu, pengaplikasian kaedah dan model pengajaran adalah penting bagi memastikan objektif pembelajaran dapat dicapai dengan jayanya. Terdapat banyak model reka bentuk pengajaran yang berskala besar dan kecil. Gustafon (1991) telah membahagikan model-model itu kepada tiga tumpuan iaitu model berorientasikan bilik darjah, model berorientasikan produk dan juga model berorientasikan sistem.
Model reka bentuk berorientasikan bilik darjah merupakan reka bentuk pengajaran berskala kecil yang tertumpu kepada perancangan bagi satu masa pengajaran. Contoh reka bentuk pengajaran jenis ini adalah Model ASSURE. Model ASSURE telah digubal oleh Heinich dan rakan-rakan pada tahun 1982 yang bertujuan untuk menyediakan panduan merancang dan mengendalikan pengajaran yang memerlukan penggunaan media. Ia lebih berfokus kepada perancangan pengajaran dalam situasi bilik darjah dan bukannya merangkumi satu skop reka bentuk pengajaran yang luas. Pada tahun 2002, model ini sekali lagi telah mengalami perubahan. Heinich dan rakan-rakan telah menggariskannya kepada enam langkah.
A-   Analyse learner (Analisis pelajar)
S- State objective (nyatakan objektif)
S- Select method, media and materials (Pilih kaedah, media dan bahan)
U- Utilise media and materials (Gunakan media dan bahan)
R- Require learner participation (Dorong penglibatan pelajar)
E- Evalute and revise (Nilai dan semak)
Rajah 1: Enam langkah Model ASSURE
Langkah pertama di dalam Model ASSURE adalah Analyse learner (Analisis pelajar). Di dalam Model ASSURE, analisis bermaksud mengetahui ciri-ciri pelajar. Adalah amat sukar untuk menganalisis ke semua ciri pelajar yang ada. Namun terdapat tiga perkara penting semasa menganalisis pelajar di dalam model ASSURE ini iaitu ciri-ciri umum, kompetensi khusus peringkat masuk dan stail pembelajaran. Dalam proses menganalisis pelajar guru perlu mengenalpasti ciri-ciri umum yang terdapat pada seseorang murid seperti jantina, umur, tahap atau tingkatan, bakat gaya pembelajaran petempatan seperti daerah atau kawasan, budaya dan kelas atau taraf ekonomi. Ciri-ciri umum ini boleh diperolehi samada semasa hari pertama persekolahan dalam sesi suaikenal, pemerhatian sepanjang proses pengajaran pembelajaran ataupun daripada rekod pelajar yang sedia ada disekolah. Maklumat-maklumat yang diperolehi ini boleh dijadikan asas dalam pemilihan media dan bahan. Sebagai contoh, bagi murid yang datang daripada sosio ekonomi yang rendah penggunaan multimedia seperti gambar-gambar di dalam power point dapat menarik minat mereka tetapi tidak pada pelajar yang datang daripada sosio ekonomi yang baik. Ini kerana pelajar yang datang daripada sosio ekonomi yang rendah kurang menggunakan multi media dan adakalanya tidak pernah melihatnya berbanding dengan pelajar yang datang daripada sosio ekonomi yang baik. Bagi pelajar yang datang daripada sosio ekonomi yang baik, penggunaan media yang berunsur mainan atau hiburan lebih memberangsangkan. Sebagai contoh mainan seperti puzzle atau hiburan seperti simulasi. Seandainya didalam sebuah bilik darjah mempunyai pelajar yang bercampur samada dari segi sosio ekonomi atau tahap kecerdasan aktiviti seperti didik hibur adalah amat sesuai.
Kompetensi khusus peringkat masuk pula adalah berkaitan dengan pengetahuan dan kemahiran sedia ada pelajar mengenai tajuk dan isi pelajaran. Pengetahuan sedia ada pelajar ini termasuklah pengalaman atau pemahaman yang diperolehi hasil daripada penceritaan atau pembacaan pelajar itu sendiri. Analisis pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid akan dapat membantu guru dalam penyediaan yang lengkap dan lebih sistematik dalam proses pengajaran pembelajaran. Guru boleh memperolehi dan mengenalpasti tahap pengetahuan sedia ada murid daripada ujian ataupun interaksi bersama mereka. Sebagai contoh didalam sebuah bilik darjah, tidak kesemua murid telah atau pernah mendengar perkataan merangkak. Tetapi semua murid pasti pernah melihat seorang bayi merangkak. Justeru itu sebelum mengarahkan murid untuk membina ayat daripada perkataan merangkak guru perlu terlebih dahulu mencungkil pengetahuan sedia ada murid. Seandaianya terdapat murid yang tidak mengetahui maksud perkataan tersebut guru hendaklah menunjukkan gambar atau membuat pergerakan merangkak dihadapan kelas samaada guru yang melakukannya atau murid yang diarahkan. Oleh yang demikian, mengetahui pengetahuan sedia ada murid amatlah penting sebelum guru beralih kepada langkah seterusnya.
Stail bermaksud gaya atau cara. Maka stail pembelajaran seseorang merujuk kepada gaya atau cara pembelajarannya itu sendiri. Mengikut ahli psikologi mahzab kognitif, gaya pembelajaran merupakan pelbagai cara membuat persepsi dan memproses maklumat untuk membentuk konsep dan idea yang sebenar. Paterson (1971), mentakrifkan gaya pembelajaran sebagai pendekatan yang digemari oleh seseorang murid semasa belajar. Manakala slavin (1994) mengaitkan personaliti dengan gaya pembelajaran dan menyatakan ‘sebagaimana murid-murid mempunyai personaliti yang berbeza, sama jugalah mereka mempunyai pelbagai cara belajar’. Secara ringkasnya dapatlah dinyatakan bahawa stail pembelajaran seseorang pelajar adalah berbeza. Justeru itu guru hendaklah menganalisis pelajar terlebih dahulu sebelum menyediakan instrumen pengajaran. Apatah lagi kelas yang mempunyai ramai murid dan datang daripada keluarga dan latar belakang yang berbeza.
Menurut Murnford dan honey (1986), gaya pembelajaran boleh dikategorikan kepada 4 jenis iaitu aktivis, reflektif, teoris dan pragmatis. Pelajar  yang belajar jenis aktivis biasanya seorang yang suka melibatkan diri secara aktif dan agresif dalam aktiviti pembelajaran. Ciri-ciri pelajar ini adalah mempunyai sikap yang tidak sabar dan tindakannya tergesa-gesa, mempunyai naluri ingin tahu yang tinggi dan berfikiran terbuka. Mereka juga lebih berminat melibatkan diri dalam latihan amali aktiviti kokurikulum terutamanya yang berkaitan sukan dan permainan. Oleh itu kaedah dan teknik yang sesuai digunakan adalah ikuiri penemuan, penyelesaian masalah dan simulasi. Memerhati, memikir dan membuat refleksi adalah orang yang mengamalkan gaya pembelajaran reflektif. Antara ciri-ciri pelajar ini ialah mereka suka berfikir tentang alam sekitarnya, berfikir secara kritis dan kreatif dan sentiasa berhati-hati. Murid sangat berminat belajar mengenai bahasa dan suka melibatkan diri dalam aktiviti projek. Kaedah dan teknik yang sesuai digunakan oleh guru adalah projek atau perbincangan. Bagi gaya pembelajaran teoris pula, murid lebih suka kepada fakta dan prinsip. Mereka suka kepada pengajaran yang mempunyai arahan yang lengkap. Pelajar ini suka kepada matapelajaran sains dan matematik. Perbincangan dan mengumpul data adalah kaedah yang terbaik digunakan bagi pelajar ini. Bagi gaya pembelajaran pragmatis pula pelajar lebih bersifat praktikal dan lebih kepada hakikat sebenar daripada teori. Ciri-ciri murid ini adalah suka kepada kebenaran dan berpijak di bumi nyata dan suka menggunakan bahan-bahan konkrit dalam pembelajaran. Justeru itu, kaedah yang sesuai adalah pemusatan bahan  dan  menggunakan carta dan gambarajah. Secara ringkasnya dapatlah dinyatakan bahawa murid sememangnya mempunyai gaya pembelajaran yang yang berlainan dan berbeza. Peranan guru adalah amat penting untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang akan dijalankan.
Menurut Slavin (1994) gaya pembelajaran boleh di golongkan dalam dua kategori iaitu gaya pembelajaran bergantung dan gaya pembelajaran tidak bergantung. Gaya pembelajaran bergantung adalah murid mengutamakan bidang kognitif dalam semua pola dan menerimanya secara menyeluruh. Ciri-ciri murid ini mereka akan menerima pendapat yang bersifat umum, sensitif terhadap pandangan dan teguran orang lain, suka dibimbing oleh orang yang disanjungi, mempunyai sikap menurut perintah dan belajar apa yang diajar tanpa menyoal. Murid ini lebih suka belajar bersama rakan sebaya dan kumpulan kecil. Kaedah yang sesuai adalah aktiviti berkumpulan. Manakala gaya pembelajaran tidak bergantung pula, pelajar amat mementingkan analisis bahagian secara terperinci. Ciri-ciri murid ini suka mengamati sesuatu perkara secara analitik. Mereka kurang sensitif terhadap pandangan dan teguran daripada rakan yang lain. Mereka lebih gemar belajar secara individu untuk menyelesaikan masalah. Kaedah yang sesuai adalah inkuiri penemuan, uji kaji dan penyelesaian masalah.
1. Murid (Audience) dapat memadankan (Behavior) 5 gambar (Degree) dengan perkataan (Condition) yang betul.
2. Murid (Audience) dapat menyebut dan membunyikan (Behavior) 5 perkataan (Degree) berdasarkan gambar (Condition) yang ditunjukkan dengan betul.
3. Murid (Audience) dapat mencerakinkan (Behavior) 5 perkataan (Degree) menjadi suku kata KV+KV (Condition) dengan betul.
4. Murid (Audience) dapat membina (Behavior) 5 frasa (Degree) berdasarkan gambar (Condition) dengan betul.
Rajah 2: Objektif pengajaran berdasarkan format ABCD
Langkah kedua di dalam Model ASSURE adalah menyatakan objektif. Objektif pembelajaran hendaklah dinyatakan dengan jelas dan terdiri daripada ABCD iaitu Audience-subjek, Behavior-kelakuan (kata kerja), Condition-bahan dan Degree-kriteria yang menjadi pengukuran. Objektif pengajaran adalah apa yang harus dicapai oleh murid sepanjang atau selepas proses pengajaran dan pembelajaran. Apa yang harus diingat oleh seorang guru, objektif pembelajaran bukan bertujuan untuk menyekat pelajar belajar tetapi ia adalah hasil yang harus dapat diperolehi oleh pelajar daripada pengajaran yang disampaikan. Apabila merancang aktiviti, ia hendaklah aktiviti yang menjurus kepada pencapaian objektif. Oleh yang demikian guru hendaklah tahu bagaimana aktiviti yang dapat mendorong murid untuk mencapai objektif pembelajaran, samada daripada aktiviti, komunikasi ataupun lembaran kerja. Selain itu apa yang harus diambil kira oleh guru semasa penulisan objektif ia hendaklah memperlihatkan sesuatu yang boleh diukur. Apabila menyebut sesuatu yang boleh diukur ia lebih tepat sekiranya mempunyai ciri-ciri ABCD. Audiens adalah siapa yang harus mencapai objektif pengajaran. Ini sudah jelas menunjukkan audiens adalah penerima kepada isi pelajaran. Sebagai contoh murid dapat memadankan 5 gambar dengan betul. Murid adalah penerima iaitu audiens. Behavior pula adalah kelakuan yang ditunjukkan dalam kata kerja seperti memadankan, membunyikan, menyebut, mencerakinkan dan membina. Manakala Conditions pula adalah sesuatu bahan yang digunakan untuk membantu bagaimana objektif itu dapat dicapai, sebagai contoh perkataan, gambar dan suku kata. Bagi Degree pula ia lebih kepada pengukuran keberhasilan yang dapat dicapai oleh murid, seperti dapat memadankan 5 gambar dengan betul ataupun dapat menyebut dan membunyikan 5 perkataan dengan betul. Justeru itu, objektif secara langsung dapat menunjukkan apakah kaedah, media dan bahan yang harus digunakan semasa proses pengajaran pembelajaran.
Langkah ketiga didalam Model ASSURE adalah pilih kaedah, media dan bahan. Pemilihan kaedah didalam pengajaran amat penting. Ini kerana kaedah yang sesuai akan dapat memastikan pencapaian objektif.  Saya telah memilih empat kaedah iaitu kaedah didik hibur, kaedah perbincangan, kaedah simulasi dan kaedah pengulangan. Kaedah didik hibur yang saya gunakan ialah nyanyian. Saya memilih nyanyian kerana, murid saya sangat gemar menyanyi. Dalam nyanyian isi pelajaran lebih mudah untuk disampaikan, apatah lagi menggunakan ayat yang pendek  murid dapat mengingatinya dalam jangka masa yang panjang. Nyanyian ini dijalankan mengikut kumpulan dengan cara bersoal jawab dan berganti-ganti. Tujuannya adalah untuk melibatkan semua ahli dalam setiap kumpulan. Secara tidak langsung kaedah ini telah dapat menarik perhatian murid untuk sama-sama dalam isi pelajaran yang seterusnya. Kaedah yang kedua adalah kaedah simulasi. Terdapat dua jenis kaedah simulasi iaitu sosiodrama dan main peranan. Sosiodrama adalah aktiviti lakonan yang mempunyai dialog dan jalan cerita yang ditentukan. Manakala main peranan pula adalah lakonan spontan tanpa skrip. Saya telah memilih kaedah simulasi main peranan. Saya memilih main peranan kerana ia lebih memperlihatkan adakah murid telah memahami maksud perkataan, secara tidak langsung saya dapat membuat penilaian, adakah objektif pembelajaran saya telah tercapai atau tidak. Murid akan dipilih secara rawak bagi setiap kumpulan. Murid akan melakonkan aksi mengikut kad perkataan yang ditunjukkan oleh guru secara sembunyi sebagai contoh, bola- murid akan beraksi seperti menendang bola. Murid lain akan meneka lakonan  sekiranya tekaan betul guru akan menunjukkan benda maujud. Murid akan mengeja perkataan dan membunyikan frasa yang telah dibina tadi. Secara tidak langsung kaedah pengulangan telah berlaku.
Media bermakna saluran komunikasi. Istilah ini berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud perantara.Kemp dan Smellie (1994) mendefinisikan sebagai audio visual dan bahan-bahan yang berkaitan yang berfunsi di dalam perlaksanaan sesuatu pengajaran. Justeru itu, saya telah memilih dua jenis media bagi rancangan pengajaran saya iaitu audio lagu dan power point.  Audio lagu dimainkan terlebih dahulu sebelum murid menyanyi. Ia bertujuan untuk membantu murid membina idea semasa menyanyi lagu mengikut muzik goreng pisang. Ini kerana tidak semua murid pernah mendengar lagu goreng pisang. Power point pula digunakan untuk memberi panduan bagaimana murid hendak mencerakinkan perkataan menjadi suku kata. Caranya adalah, guru akan menunjukkan perkataan sebagai contoh roti, murid akan mengeja perkataan ro terlebih dahulu dan seterusnya ti. Maka dengan ini secara tidak langsung murid telah mencerakinkan perkataan. Power point ini bertujuan untuk memberi gambaran bagaimana murid hendak mencerakinkan perkataan di dalam lembaran kerja. Tujuan media pengajaran ini digunakan adalah untuk memperjelaskan penyampaian dan dapat mengatasi batasan ruang waktu dan pancaindera.
Mengikut kamus dewan edisi keempat bahan adalah sesuatu atau beberapa benda yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu atau untuk sesuatu tujuan. Oleh yang demikian bahan pengajaran adalah sesuatu atau beberapa bahan yang digunakan untuk membantu proses pengajaran. Ia melibatkan apa jua benda yang digunakan dan akan dipanggil bahan. Justeru itu, saya telah menggunakan empat bahan didalam pengajaran iaitu carta gambar, kad perkataan, kad gambar, carta gambar dan perkataan, lembaran kerja dan benda maujud. Kad gambar yang digunakan bertujuan untuk memberi gambaran awal dan merangsang pelajar untuk menamakan objek pada gambar. Kad perkataan pula bertujuan untuk memudahkan murid melakukan aktiviti secara berkumpulan. Selain itu juga, murid dapat membaca perkataan sambil dibimbing oleh rakan sebaya. Benda maujud seperti bola, buku dan roti bertujuan agar murid dapat menyentuh dan mengukuhkan lagi kefahaman mereka mengenai objek yang terdapat dalam gambar.
Langkah ke empat di dalam Model ASSURE adalah menggunakan media dan bahan. Di dalam satu rancangan pengajaran ia mesti mempunyai lebih daripada satu kaedah, media dan bahan yang digunakan. Penggunaanya juga adalah berbeza pada setiap langkah pengajaran. Sebagaimana rancangan yang telah saya sediakan, pada set induksi saya telah memilih kaedah didik hibur, media audio lagu dan bahan pula adalah kad gambar dan carta gambar. Dalam set induksi, saya akan memastikan murid berada di dalam kumpulan yang mempunyai murid pelbagai kecerdasan. Ia bertujuan agar murid cerdas dapat membimbing rakannya. Setiap kumpulan akan diberikan kad gambar. Murid akan mendengar audio lagu terlebih dahulu. Lagu akan dimulakan oleh kumpulan A dan diikuti oleh kumpulan B, C dan D. Semasa murid mengajukan soalan, seorang daripada ahli kumpulan akan menunjukkan gambar dan ahli kumpulannya pula akan membuat bentuk objek tersebut. Manakala kumpulan yang menjawab pula ahlinya boleh datang hampir kearah kumpulan yang menyoal tadi sambil menunjukkan ke arah gambar. Selepas menyanyi, murid akan menamakan objek yang terdapat didalam carta gambar. Secara tidak langsung murid telah bergerak dan mewujudkan suasana yang menghiburkan.
Pada langkah 1 pula, saya memilih bahan kad perkataan, kad gambar dan lembaran kerja. Masih didalam kumpulan murid akan meletakkan gambar tadi di atas meja. Murid diberikan kad perkataan dan murid dikehendaki mencari kad gambar yang sepadan pada meja kumpulan lain. Semua ahli dalam kumpulan hendaklah bersama-sama mencari kad gambar yang sepadan. Apabila menemui kad gambar yang sepadan dengan kad perkataan murid dikehendaki membunyikan perkataan sambil menunjukkan kad perkataan dan kad gambar. Kumpulan yang membunyikan perkataan terlebih dahulu dan cukup ahlinya dikira pemenang. Aktiviti ini melibatkan semua murid didalam kumpulan dan menyebabkan murid akan berlari-lari anak untuk mencari padanan gambar yang betul. Murid akan menjawab lembaran kerja memadankan gambar dengan perkataan.
Pada langkah ke dua pula, media yang digunakan adalah power point dan bahannya pula lembaran kerja dan carta gambar dan perkataan. Murid melihat power point sambil mengeja perkataan yang ditunjukkan. Apabila murid mengeja secara tidak langsung murid telah mencerakinkan perkataan. Secara individu murid dikehendaki menjawab lembaran kerja mencerakinkan perkataan. Setelah murid selesai menjawab lembaran kerja, guru menunjukkan jawapan yang betul melalui power point. Murid yang salah akan mendapat bimbingan secara langsung dari guru. Semua murid menamakan gambar dan mengeja perkataan pada carta gambar dan perkataan.
Pada langkah yang ke tiga, kaedah yang digunakan perbincangan dan bahan adalah lembaran kerja. Murid didalam kumpulan akan berbincang untuk membina frasa berdasarkan gambar. Setiap ahli didalam kumpulan akan diberi peluang untuk menulis jawapan. Pada masa ini murid yang cerdas akan membimbing rakan yang kurang cerdas. Bimbingan rakan sebaya berlaku pada masa ini. Kumpulan akan  membacakan hasil jawapan di hadapan kelas. Bagi kumpulan yang salah guru akan membuat bimbingan secara perbincangan kelas. Guru akan memberi peneguhan kepada kumpulan yang memberi jawapan yang betul.
Pada langkah terakhir iaitu penutup, kaedah yang digunakan simulasi dan bahannya pula kad perkataan dan benda maujud. Setiap kumpulan akan memilih seorang ahli sebagai wakil kumpulan. Wakil kumpulan akan melakonkan satu gambaran daripada kad perkataan yang ditunjukkan oleh guru secara sembunyi. Murid akan meneka lakonan yang ditunjukkan. Apabila jawapan yang diberikan oleh murid betul guru akan mengarahkan semua murid mengeja dan menyebut frasa yang telah dibina. Guru juga akan menunjukkan dan memberikan kepada murid benda maujud. Bagi paku dan cili pula guru hanya menunjukkan  kad gambar. Aktiviti ini akan mengukuhkan  pengetahuan murid kerana murid telah dapat meneka, mengeja, membunyikan dan menyentuh objek yang sebenar. Secara tidak langsung pencapaian objektif pembelajaran juga dapat diketahui.
Langkah ke lima ialah mendorong penglibatan pelajar. Penglibatan pelajar mestilah secara aktif. Pada kebiasaanya pembelajaran aktif ini berlaku semasa aktiviti berkumpulan. Ini kerana ia melibatkan keseluruhan murid didalam kelas. Kaedah yang digunakan juga hendaklah pelbagai. Kaedah didik hibur, simulasi, perbincangan dan pengulangan adalah kaedah yang dapat mewujudkan pembelajaran aktif. Kaedah ini bukan sahaja dapat melibatkan keseluruhan murid tetapi ia juga dapat membuatkan murid mudah untuk mengingat apa yang telah dipelajari. Tambahan pula bagi murid tahap satu kata ini sangat berkesan, saya dengar dan saya lupa, saya lihat dan saya ingat, saya lakukan dan saya faham. Jelaslah murid lebih ingat dan faham apa yang telah mereka lihat dan buat berbanding dengan apa yang mereka dengar.
Langkah yang keenam adalah nilai dan semak. Buku education Evaluation and Decision Marking yang ditulis oleh D.Stuffflebeam, penilaian ditakrifkan sebagai proses menentukan, mendapatkan dan memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan mengenai tindakan selanjutnya. Justeru itu, saya menilai murid didalam pengajaran saya adalah dengan cara pemerhatian tingkah laku, soal jawab secara lisan dan memeriksa lembaran kerja. Pemerhatian tingkah laku dapat dilihat dengan jelas semasa aktiviti simulasi. Soal jawab secara lisan telah saya gunakan semasa set induksi lagi. Selepas murid menyanyikan lagu saya telah bertanya apakah nama gambar yang ditunjukkan oleh setiap kumpulan. Lembaran kerja yang saya gunakan juga bertujuan untuk menilai hasil dapatan murid. Sebelum saya menjalankan pengajaran saya juga telah menilai kaedah, media dan bahan yang saya gunakan agar dapat membantu murid untuk mencapai objektif. Semasa pengajaran pula saya memastikan murid dapat sesuatu pengetahuan baharu dengan mengukuhkan pengetahuan sedia ada murid. Selesai pengajaran saya dapat melihat perubahan tingkah laku murid dimana murid telah beraksi dengan pelbagai gaya yang ditunjukkan kepada rakan untuk menyampaikan mesej pada perkataan.
Secara kesimpulannya, persembahan guru dari segi penyampaian telah dapat menguasai murid. Apatah lagi kaedah-kaedah yang di gunakan telah menarik minat murid untuk sama-sama mengikuti isi pelajaran hingga ke akhirnya. Penggunaan media dan bahan yang pelbagai juga telah membuatkan murid sangat aktif. Secara keseluruhannya murid terlibat didalam setiap aktiviti yang dijalankan. Objektif pembelajaran juga tercapai dimana pada langkah penutup keseluruhan murid dapat mengeja perkataan, menyebut frasa dan menyatakan pergerakan rakan yang secara simboliknya menunjukkan murid tahu dan faham maksud perkataan. Proses pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan guru sangat berkesan.

(2958 patah perkataan)





APENDIKS
RUJUKAN
1.     Asmah Bt. Hj. Ahmad. (1989). Pedagogi 1. Longman Malaysia. Selangor.
2.     Daud Bahaman. (1992). Kamus Muktakhir Bahasa Melayu. Lonngman Malaysia Sdn. Bhd. Petaling Jaya.
3.     Dewan Bahasa Dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan Edisi Keempat. Dewan Bahasa Dan Pustaka. Selangor.
4.     Dr. Nur Hasimah Hashim, Yahya Che Lah. (2003). Panduan Pra Sekolah. PTS Publication Sdn. Bhd. Pahang.
5.     Ea Ah Meng. (1987). Pedagogi Untuk Bakal Guru. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Petaling Jaya.
6.     Ismail Said. (2009). Siri Pendidikan sosial KPLI. Karisma Publication Sdn. Bhd. Shah Alam.
7.     Juriah Long. (2010). Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia. Selangor.
8.     Lee Shok Mee, Mok Soon Sang. (1989). Pengujian Dan Penilaian dalam Pendidikan. Kumpulan Budiman sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
9.     Mok Soon Sang. (2000). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI semester 2. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
10.   Mok Soon Sang, Lee Shok Mee. (1991). Pedagodi 3 Bahagian A Pengajaran dan Persedian Mengajar. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
11.   Mok Soon Sang, Lee Shok Mee. (1988). Latihan Mengajar Untuk Maktab Perguruan. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
12.   Mok Soon Sang. (2010). Nota intisari Ilmu Pendidikan Psikologi Pendidikan . Penerbit Multimedia Sdn. Bhd. Selangor.
13.   Mok Soon Sang. (2009). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku. Penerbit Multimedia Sdn. Bhd. Selangor.
14.   Mok Soon Sang. (2010). Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan II. Penerbit Multimedia Sdn. Bhd. Selangor.
15.   Mok Soon Sang. (2004). Peperiksaan PTK Bahagian II. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.
16.   Mok Soon Sang. (2003). Siri Pendidikan Perguruan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 2. Kumpulan. Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.
17.   Mok Soon Sang. (2010). Teks Lengkap PTK Bahagian II. Penerbit Multimedia Sdn. Bhd. Selangor.
18.   Prof. Dr. Abu Bakar Nordin. (tiada tarikh). Kamus Za’Ba. Pustaka Antara Books Sdn. Bhd.
19.   Prof. Madya Dr. Wan Zah Wan Ali, Prof Madya Dr. Ramlah Hamzah, Dr. Rosini Abu. (2011) HBEF3103 Prinsip Teknologi Pendidikan. Open Universiti Malaysia. Selangor.
20.   Tan Hui Leng, Ee Ah Meng. (1996). Siri Pendidikan Perguruan Penilaian Dalam Proses Pendidikan Asas Pendidikan 3. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Shah Alam.
21.   B. O'Bannon. (2008). Writing Objectives. Dipetik: http://itc.utk.edu/~bobannon/writing_objectives.html. (2011, Mei 03).
22.   Hilary Kissel, B.J. Miller, & Hollie Young. (tiada tarikh). Writing Objectives. Dipetik: www.jmu.edu/judicial/wm_library/writingobjectives.ppt. (2011, Mei 03).
23.   RaymondS. Pastore. (tiada tarikh). Writing ABCD Behavioral Objectives. Dipetik: http://teacherworld.com/abcdobjectives.html. (2011, Mei 03).
24.   Russel, James D, Sorge, Dennis. (1994). Improving technology implementation in grades 5-12 with the ASSURE model. Dipetik: http://web.ebscohost.com.newdc.oum.edu.my/ehost/detail?vid=11&hid=10&sid=31b55262-10c3-4dd1-a8d8-c5e5251937e1%40sessionmgr14&bdata=JnNpdGU9ZWhvc3QtbGl2ZQ%3d%3d#db=a3h&AN=9501235085. (2011, Mei 03).
25.   Seels & Glasgow. (1990). Techniques & Methods for Writing Objectives & Performance Outcomes. Dipetik: http://classweb.gmu.edu/ndabbagh/Resources/IDKB/objective_formats.htm. (2011, Mei 03).






No comments:

Post a Comment