PENGENALAN
Perkembangan dan perubahan dalam kemajuan sains,
teknologi dan telekomunikasi telah mengalami suatu bentuk perhubungan dalam
perpindahan maklumat dan ilmu pengetahuan. Istilah globalisasi atau dunia tanpa
sempadan adalah manifestasi daripada kemajuan sistem maklumat atau komunikasi. Kemajuan
ini telah membuka lebih banyak peluang penyebaran atau perkongsian ilmu tanpa
mengira bangsa, budaya dan nilai seseorang. Integrasi ilmu dalam pendidikan
pastinya dapat meningkatkan lagi kemajuan ketamadunan sesuatu bangsa dan
negara. Ia bertepatan dengan jolokan abad ke 21 sebagai era maklumat dan ilmu
pengetahuan. Berbanding dahulu penyebaran maklumat hanya melalui penggunaan mel
udara dan telefon yang dikekangi oleh batasan waktu dan ruang.
Pada masa kini maklumat yang sama boleh dihantar dalam
sekelip mata melalui kemudahan internet, satelit, telesidang dan sebagainya.
Malah kualiti penerimaan maklumat yang disampaikan juga jauh lebih tepat dan
mudah difahami. Persaingan masyarakat dunia yang lebih hebat dalam abad ke-21
dan perubahan dari era masyarakat industri kepada masyarakat bemaklumat telah
menimbulkan cabaran baru kepada industri pendidikan. Beberapa perubahan dalam
pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran telah berlaku. Di antaranya ialah
perubahan fokus daripada pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan guru
kepada pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Dalam hal ini,
pelajar menjadi fokus kepada aktiviti pembelajaran yang berorientasikan proses
penerokaan dan penemuan berdasarkan pendekatan teori konstruktivisme. Ahli-ahli
konstruktivisme berpendapat bahawa pendidikan merupakan satu proses pembangunan
pengetahuan yang aktif dan berlaku dalam diri seseorang melalui pengalaman,
intepretasi dan interaksinya dengan persekitaran. Ia melibatkan interaksi
sosial dan kolaborasi, di mana seseorang mendapatkan bantuan daripada orang
lain untuk menambah pengetahuan sedia ada mereka
Selaras dengan
perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi, penggunaan komputer dan
peralatan komunikasi telah berkembang dengan pesat dalam sektor pendidikan.
Perkembangan ini diteguhkan lagi dengan peningkatan dalam tahap pencapaian
pelajar melalui penggunaan teknologi berbanding dengan pendekatan tradisional
sebelum ini. Pelbagai kajian rintis yang dilakukan oleh tokoh-tokoh pendidikan
tersohor khususnya dari aspek pengajaran dan pembelajaran kolaboratif dengan
menggunakan teknologi maklumat telah memberikan keputusan yang positif dan
memberangsangkan untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran pembelajaran.
Pengajaran Pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) terus menjadi strategi
pengajaran dan pembelajaran untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dari semua
aspek 4Falsafah Pendidikan Kebangsaan Negara.
Pengajaran dan
pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) ialah pengajaran dan pembelajaran yang
dilakukan dengan menggunakan perisian kursus yang dihasilkan untuk disampaikan
melalui komputer. Di Amerika PPBK lebih dikenali sebagai Computer Asisted
Instructional (CAI) manakala di United Kingdom pula ia lebih dikenali sebagai
Computer Aided Learning (CAL). Apapun istilah yang digunapakai, pada asasnya ia
merujuk kepada penggunaan perisian komputer untuk pengajaran dan pembelajaran.
Perisian komputer ini biasanya dikenali sebagai perisisan kursus. Perisisan
kursus ini melibatkan perisisan yang menggabungkan pelbegai elemen seperti
video, audio, teks, grafik dan animasi yang bertujuan untuk menyampaikan
pengetahuan serta mewujudkan aktiviti pembelajaran yang berkesan. PPBK
diasaskan kepada kaedah ‘programmed instruction’ dimana pengajaran dilakukan
secara berperingkat dan dimulakan dengan pendedahan konsep atau fakta
seterusnya diikuti dengan soalan-soalan yang berkaitan. Konsep atau fakta baru
yang dibina akan berasaskan kepada apa yang diajar sebelum didedahkan kepada
pelajar dan diikuti dengan soalan-soalan sehinggalah tamat suatu pengajaran.
Alessi & Trollip (1991) mengatakan PPBK yang dilaksanakan dengan betul akan
dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Kenyataan ini juga turut disokong oleh Jensen (1996) apabila
dapatan kajian yang dijalankannya telah mempunyai perbezaan pencapaian
perbandingan pelajar yang menggunakan perisisan kursus dengan pelajar yang
menggunakan kaedah konvensional. Pencapaian pelajar yang menggunakan perisisan
kursus PPBK lebih baik daripada pelajar yang tidak menggunakannya. Malah Locked
et al, (1989) juga mendapati kanak-kanak yang menggunakan perisian kursus
berjaya mengekalkan tumpuan berbanding dengan kanak-kanak yang menggunakan
kaedah biasa.
PPBK menggunakan
beberapa jenis pendekatan interaksi pengajaran dan pembelajaran. Antara
jenis-jenis interaksi yang popular ialah tutorial, latih-tubi, simulasi dan
permainan dalam pendidikan. Setiap jenis interaksi ini mempunyai kelebihannya
masing-masing. Ia boleh dibangunkan secara sendiri. Bagaimanapun, perisian yang
menggunakan gabungan tutorial, latih-tubi, simulasi dan permainan pendidikan
akan bersifat lebih interaktif dan menarik. Jenis pendekatan yang pertama
adalah pendekatan tutorial. Tiga
perkara asas yang perlu ada dalam sesi tutorial iaitu isi pelajaran yang kemas,
pengguna boleh menjawab soalan dan komputer memberi maklum balas. Dalam sesi
tutorial pada asasnya, komputer akan mengajar pengguna sesuatu konsep atau
teori yang baru. Pengguna kemudian akan berinteraksi dengan komputer mengikut
kadar kendiri pengguna. Setelah konsep-konsep tertentu dipersembahkan kepada
pengguna dan kefahaman pengguna diukur, komputer kemudiannya akan mengeluarkan
arahan-arahan sama ada berbentuk pengulangan ataupun pengukuhan berdasarkan
maklum balas pengguna.
Bagi pemilihan
perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan Komputer (PPBK) saya telah
memilih perisian Eja Baca Ulang Dan Ingat (EBUDI). Perisian EBUDI telah
menggabungkan penggunaan pendekatan jenis tutorial, latih tubi dan permainan
yang lebih berunsurkan nyanyian. Tutorial digunakan untuk mempersembahkan bahan
pengajaran yang baru dan mempunyai langkah-langkah penerangan yang tersusun. Tutorial
bermula dengan bahagian pengenalan yang menerangkan kepada pelajar tentang perisian
kursus yang digunakan termasuk objektif pembelajaran. Seterusnya diikuti dengan
persembahan bahan pengajaran yang membawa kepada pengujian untuk mengetahui
hasil dapatan pelajar daripada pengajaran yang disampaikan. Tutorial
membolehkan pelajar belajar mengikut kemampuan masing-masing. Pelajar yang
cerdas akan dapat menyiapkan tugasan dengan cepat berbanding dengan pelajar
yang lemah dan perlu bimbingan. Latih tubi dapat menilai pemahaman pelajar atau
pengukuhan dan ia dilaksanakan secara kendiri. Dalam latih tubi, pelajar
diberikan beberapa soalan dan komputer akan memberi maklum balas berdasarkan
jawapan mereka. Latih tubi juga menggalakkan pelajar menguasai suatu kemahiran
atau pengetahuan dan melalui proses penilaian sebelum mempelajari bahagian-bahagian
yang lain. Permainan yang diterapkan dalam EBUDI lebih berfokuskan kepada
nyanyian. Walaupun ramai yang berpendapat kaedah permainan ini hasilnya pada
tahap yang rendah tetapi bagi tahap kanak-kanak ia mudah untuk diingati dan
maklumat dapat disimpan dalam jangka masa yang panjang. Selain itu grafik dan multimedia yang menarik juga
digunakan untuk memotivasi dan memberi maklum balas kepada pengguna.
Klasifikasi kategori perisian Eja Baca Ulang Dan Ingat (
EBUDI )
Antara muka montaj perisian
Rajah 1 Rajah 2
Bagi permulaan
perisian EBUDI, pengguna akan diperlihatkan montaj perisian seperti rajah 1 dan
rajah 2. Pada rajah 1 para pengguna akan diperkenalkan siapakah yang telah membangunkan
perisian tersebut. Pembangun perisian EBUDI ini adalah Cikgu Itaerdayu Shahidan
dari SK Kangkar Pulai 2, Johor. Kemudian pengguna akan diperlihatkan paparan
rajah 2 yang menerangkan apa itu sebenarnya EBUDI. Pada paparan ini terdapat
anak panah yang menunjuk kearah kanan, ini bermakna dengan menekan anak panah
tesebut maka para pengguna akan dibawa terus ke paparan menu utama. Sepanjang
montaj ini juga, pembangun perisian ini telah menyelitkan elemen muzik dan
elemen suara supaya pengguna tertarik dengan persembahan montaj tersebut.
Antara paparan
muka menu utama
Rajah 3
Paparan muka menu
utama seperti rajah 3 akan muncul setelah butang anak panah yang berada pada
montaj ditekan. Pada paparan menu utama terdapat butang-butang yang diwakili
oleh perkataan. Butang-butang tersebut terbahagi kepada 3 bahagian. Bahagian
sebelah kiri dan kanan adalah sub menu, manakala butang yang berada pada
bahagian tengah perisian adalah menu utama. Terdapat 4 menu utama iaitu Program
Gegar minda, Bacaan Berperingkat, Mari Buat Latihan dan juga Mari Menyanyi.
Dalam setiap menu utama terdapat
12 sub menu. Dalam menu utama Program Gegar Minda terdapat butang vokal,
vokal dan konsonan, suku kata kv (a), suku kata kv (e), suku kata kv (i), suku
kata kv (o), suku kata kv (u), suku kata kv + kv, suku kata kv + kvk, suku kata
kvk + kv, suku kata kv + kv + kv, suku kata kv + kvkk. Apabila pengguna menekan
butang sub menu maka paparan seperti Rajah 4 akan kelihatan. Pada paparan ini
butang ‘X’ dan juga butang anak panah menunjuk kearah sebelah kiri akan muncul.
Butang ‘X’ adalah butang keluar dari perisian manakala butang anak panah
menunjuk kearah sebelah kiri adalah butang kembali ke laman sebelumnya. Selain
itu pada paparan ini penguna akan diajar dengan sebutan vokal dan juga sebutan suku
kata berserta dengan gambar.
Rajah 4
Sepanjang pengguna menggunakan perisian EBUDI
ini, pembangun telah memasukkan elemen muzik dan suara pada setiap pendekatan
tutorial dan juga latihan atau latih tubi bagi menarik minat dan memberikan
motivasi kepada para pengguna. Manakala gambar dan juga animasi yang terdapat
pada setiap paparan dapat menarik perhatian para pengguna.
Antara paparan muka Bacaan Berperingkat
Rajah 5
Dalam menu utama
Bacaan Berperingkat seperti rajah 5 terdapat butang sub menu Baju Nana, Baju
Yana, Kuda Jali, Nuri, Susu Basi, Bola Ravi, Buku Ayu, Gigi Didi, Lori Bapa,
Rama-rama, Datuk, Baju Pak Su, Lembu Pak Samad, Pak Mat, Zaki, Bapa, Ibu
Salina, Johari dan Salima, Encik Wong Tukang Masak dan juga Kucing Lili. Pada
paparan ini juga terdapat butang anak panah yang menunjuk kearah sebelah kiri.
Fungsi anak panah tersebut adalah untuk para pangguna kembali ke menu utama
ataupun ke paparan sebelumnya. Apabila para pengguna menekan butang sub menu
maka paparan seperti rajah 6 akan dipaparkan. Semasa perkataan dipaparkan audio
juga akan berbunyi secara automatik.
Rajah 6
Antara paparan muka Jom Buat Latihan
Rajah 7
Paparan seperti rajah 7 adalah paparan bahagian Jom Buat Latihan. Butang
sub menu yang terdapat pada Jom Buat Latihan adalah butang latihan 1 sehingga
butang latihan 12. Apabila butang latihan ini ditekan maka paparan seperti
rajah 8 akan kelihatan. Seperti paparan yang lain paparan Jom Buat Latihan juga
mempunyai butang ‘X’ dan juga butang anak panah.
Rajah 8
Paparan rajah 8 pengguna akan diarahkan untuk menjawab
soalan atau mengisi tempat kosong dengan jawapan yang betul. Jikalau jawapan yang
diberikan adalah betul maka pengguna boleh ke paparan seterusnya. Sekiranya
jawapan yang diberikan salah maka perkatan ‘Cuba lagi!’ berserta audio ‘oo cuba
lagi” akan muncul dan para pengguna perlu mencari jawapannnya yang sebenar.
Pada paparan ini juga terdapat butang anak panah menunjuk kearah sebelah kanan
dan tertulis ‘seterusnya’. Butang ini berfungsi untuk memeriksa jawapan para
pengguna dan setelah jawapan yang diberikan betul para pengguna akan dibawa ke
latihan seterusnya dengan audio ‘ya, adik pandai’.
Antara paparan muka Jom Buat Latihan
Rajah 9
Paparan menu
seperti rajah 9 adalah paparan menu Mari menyanyi. Sub menu yang ada adalah
Lagu Huruf, Lagu Vokal, Lagu KV (i), Lagu KV (o), Lagu KV (u), Lagu KVK, Lagu
KVKV, Lagu KVKVK, Lagu KVKKV, Lagu KVKKVK dan Lagu KVKVKK. Pada paparan ini
pengguna akan diajar menyanyi mengikut rentak lagu-lagu kanak-kanak dan
lagu-lagu rakyat.
Rajah 10
Antara paparan sub menu yang ada pada paparan Mari
Menyanyi adalah seperti rajah 10. Pada paparan seperti rajah 10 terdapat butang
yang diwakili gambar mikrofon dan tulisan nyanyi. Pada paparan ini para
pengguna perlu menekan butang tersebut untuk mendengar audio nyanyian sebenar
setiap lagu.
Dapatan penilaian perisian PPBK EBUDI
Robiah Sidin (1992)
mengatakan, penilaian ialah satu prinsip untuk mengukur pencapaian secara
sistematilk. Justeru itu penilaian terhadap perisian PPBK adalah sangat penting
untuk memastikan perisian tersebut dapat membantu pelajar untuk mewujudkan
pengajaran pembelajaran yang berkesan. Walaupun penilaian yang dijalankan memakan
masa, ia dapat memastikan perisian tersebut sesuai digunakan oleh pelajar.
Penilaian merangkumi beberapa aspek agar kelemahan-kelemahan dapat dikenalpasti
dan pemilihan tepat dapat dilakukan. Aspek yang hendak dinilai hendaklah
bergantung kepada tujuan penilaian dilakukan.
Saya telah menjalankan penilaian untuk menilai perisian
ini. Saya menjalankan penilaian kepada guru-guru Bahasa Melayu dan berfokuskan
kepada guru-guru yang mengajar Literasi, LINUS. LINUS adalah suatu program yang
dirancang oleh Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang menyasarkan
bahawa semua murid dapat menguasai asas membaca kecuali murid yang berkeperluan
khas. Oleh kerana perisian EBUDI menyasarkan kepada murid yang tidak boleh
menguasai bacaan (tidak boleh membaca) soal selidik ini saya lakukan kepada
guru yang mengajar literasi LINUS.
Didalam borang soal selidik yang saya sediakan saya telah
membahagikan kepada tiga kriteria iaitu isi kandungan, aspek teknikal dan
dokumentasi. Bagi kriteria isi kandungan saya telah membahagikannya kepada tiga
bahagian iaitu ketepatan, kesesuaian dan skop. Dapatan daripada ketepatan yang
menilai maklumat seperti bebas daripada kesilapan, maklumat terkini, pendapat
yang tidak berat sebelah, sesuai dengan kebudayaan dan agama dan penggunaan bahasa
yang betul semua penilai amat
bersetuju bahawa aras ketepatannya sangat tinggi. Bagi kesesuaian pula yang
menilai tentang konsep dan bahasa sesuai dengan tahap pelajar, maklumat sesuai
dengan objektif yang disasarkan dan interaksi komputer-pelajar sesuai dengan
tahap pelajar guru-guru juga memilih dengan aras yang tertinggi. Manakala bagi
skop yang menilai kandungan yang disampaikan berada dalam skop topik yang
diajar serta kandungan yang disampaikan mengikut susunan juga dipilih pada aras
tertinggi. Hanya pada kepelbagaian dan kesesuaian aktiviti terdapat 7 orang
daripada 10 orang penilai yang memilih pada aras tertinggi, manakala 3 orang
daripadanya memilih untuk EBUDI ini perlu dipelbagaikan lagi. Ulasan yang
diberikan penilai-penilai berpendapat sekiranya disediakan kategori untuk
simulasi ia adalah lebih baik kerana murid-murid yang terkategori dalam pelajar
LINUS ini, ingatan mereka hanya pada ingatan jangka pendek. Sekiranya terdapat
simulasi seperti menunjukkan murid menulis secara atas udara atau simulasi yang
menunjukkan murid membentuk huruf menggunakan plastisin ia akan menghasilkan
pengajaran pembelajaran yang lebih berkesan dan menyeronokkan.
Bagi kriteria aspek teknikal, saya juga membahagikan
kepada empat bahagian iaitu navigasi, ciri-ciri penyimpanan rekod, persembahan
dan kualiti. Navigasi menilai maklumat yang dicari mudah dan cepat, penggunaan
menu, ikon dan arahan yang intuitif , mempunyai pilihan untuk mengawal
perjalanan perisian atau berhenti untuk keluar serta bunyi yang boleh dikawal
guru-guru memberi penilaian pada aras tinggi. Ulasan yang diberikan, perisian
ini mudah untuk dikongsi bersama guru-guru kerana hanya berkapasiti rendah
iaitu 58.4 MB yang memudahkan untuk di simpan dalam ‘thumb drive’ dan bunyi
yang disediakan jelas walaupun pengawal bunyi tidak disediakan tetapi bunyi
boleh dikawal daripada speaker atau pembesar suara yang terdapat dalam komputer
riba. Pada penilaian ciri-ciri penyimpanan rekod pula, guru-guru sangat tidak
bersetuju kerana tidak ada kemudahan untuk mencetak maklumat, menyimpan
maklumat, mengambil dan menyimpan nota serta rekod penggunaan perisian. Ulasan
yang diberikan menyatakan, guru-guru sukar untuk merujuk semula bahagian topik
yang telah dikuasai dan yang belum dikuasai pelajar kerana tidak ada data
penyimpanan ataupun rekod bagi setiap orang murid. Persembahan yang menilai
kepada isi kandungan yang disampaikan dapat merangsang pelajar, aktiviti yang
menggalakkan penyelesaian masalah secara kreatif, maklum balas yang membina,
kemudahan untuk mendapatkan bantuan, susun atur paparan yang baik, penerangan
yang mencukupi,teks yang mudah dibaca penilai-penilai bersetuju dengan memilih
pada aras yang tertinggi. Manakala kualiti yang menilai kepada visual yang
sesuai dengan pelajaran, audio yang jelas dan mudah difahami dan suara serta
muzik yang berkaitan dengan paparan juga di nilai pada tahap yang terringgi.
Dalam kriteria dokumentasi saya juga telah membahagikan
kepada dua aspek iaitu teknikal dan panduan pengguna. Bagi aspek teknikal yang
menilai tentang keperluan peralatan dan sistem operasi komputer, penilai
memilih pada aras tertinggi dan ulasan yang diberikan ia menepati dengan
perisian yang ada pada masa kini kerana menggunakan perisian adobe yang tidak
mengubah mana-mana bahagian. Bagi penerangan tentang pengoperasian perisian dan
bantuan melalui telefon penilai hanya memilih pada tahap sederhana kerana tidak
ada perkhidmatan yang disediakan. Walau bagaimanapun, daripada ulasan penilai
PPBK EBUDI ini tidak memerlukan teknikal telefon kerana ia telah disediakan
dalam cara yang mudah difahami oleh semua peringkat sasaran. Panduan pengguna
yang menilai mengenai maklumat tentang kumpulan sasaran, ringkasan kandungan
perisian, objektif pembelajaran, cadangan cara penggunaan dan bahan pengajaran
dan pembelajaran tambahan. Penilai juga hanya memilih pada tahap sederhana.
KESIMPULAN
Pada keseluruhannya, dapatan kajian daripada hasil soal
selidik keatas penilaian Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK)
Eja Baca Ulang Dan Ingat atau EBUDI telah, menunjukkan bahawa reka bentuk
perisian latih tubi dan tutorial
ini sesuai dan menepati keperluan perlaksanaan proses pengajaran
pembelajaran berbantukan komputer bagi matapelajaran Bahasa Melayu. Ini
menunjukkan bahawa pengintegrasian tiga strategi pembelajaran serta strategi
penerapan nilai-nilai murni menerusi aspek isi kandungan, aspek teknikal dan
aspek dokumentasi membolehkan pengwujudan suasana dan persekitaran pengajaran
pembelajaran berbantukan komputer
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru
merupakan orang yang paling hampir dengan pelajar, pakar kepada subjek yang
diajar dan mengenali serta mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh
pelajar-pelajar. Dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, media teknologi
digunakan sebagai satu wahana untuk mengoptimumkan hasil pembelajaran. Antara
contoh media teknologi yang digunakan ialah televisyen, radio, video, perisian
komputer, perisian kursus, dan internet. Memandangkan penggunaan komputer dalam
proses pengajaran dan pembelajaran adalah penting, kemahiran komputer guru-guru
juga menjadi aspek utama. Tanpa kemahiran mengendali dan memanipulasi sesuatu
alat, betapa hebat dan canggihnya peralatan tersebut tidak akan memberi kesan
atau faedah. Begitu juga dengan komputer, walaupun terdapat banyak kelebihan
dan kekuatan menggunakan komputer dalam pengajaran sekiranya ia tidak
digunakan, maka samalah ertinya seperti kayu buruk yang menunggu masanya hanya
untuk reput.
Guru-guru
mempunyai persepsi yang sangat baik terhadap penggunaan komputer dalam
pengajaran sama ada dari segi penggunaan perisian kursus atau penggunaan
internet. Namun, kekangan masa yang disebabkan tugas yang begitu banyak di
samping kemahiran dan pengetahuan yang terhad, maka guru tidak dapat
menggunakan sepenuhnya kemudahan itu dalam pengajaran mereka. Sesuatu strategi
pengajaran menggabungkan pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran untuk
mencapai kesan pengajaran yang optimum. Strategi yang baik akan menggunakan
masa, tenaga serta kos yang paling sedikit tetapi menghasilkan kesan pengajaran
pembelajaran yang paling maksimum. Penggunaan media komputer dan internet
mempunyai potensi untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik
dan bermakna. Justeru itu, warga pendidik perlu dibantu bagi membolehkan mereka
menggunakan teknologi ini dalam proses pengajaran. Dengan ini, guru-guru dapat
menyahut cabaran pada masa depan dengan lebih yakin. Institusi pendidikan
sebagai wadah terpenting perlu mengalami perubahan lebih awal berbanding dengan
institusi-institusi lain ke arah mencapai matlamat tersebut. Potensi dan
kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
(2778
patah perkataan)
APENDIKS
RUJUKAN
1.
Kassim Bin
Abbas. (2009). Media Dalam Pendidikan. Perak. Universiti Pendidikan Sultan
Idris.
2.
Mok Soon
Sang. (2007). Pengajaran dan Pembelajaran. Selangor. Multimedia-ES Resources
Sdn. Bhd.
3.
Omar
Zakaria et al. (2011). HBEF2303 Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan. Selangor.
OUM.
4.
Zamri
Mahamod, Mohamad Amin Embi. (2008). Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Dalam
Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Selangor. Karisma Publications Sdn
Bhd.
5. Masrulisah
Md Ismail. (2003). Pengajaran Dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK).
Dipetik: http://www.ipislam.edu.my/edu3105/hasil-pelajar/PPBK.htm.
(18 JULAI 2011).
6. Mohd Aris bin Othman. (2007). Keberkesanan Kaedah Pengajaran
Berbantukan Komputer. Dipetik:http://eprints.usm.my/9087/1/KEBERKESANAN_KAEDAH_PENGAJARAN_BERBANTUKAN_KOMPUTER.pdf.
(18 JULAI 2011).
7. Faizal Hakimi. (2011). Jenis-jenis Pengajaran Pembelajaran
Berbantukan Komputer. Dipetik: http://fhakimi.blogspot.com/2011/03/jenis-jenis-pengajaran-dan-pembelajaran.html.
(18 JULAI 2011).
8. Khairul Bariyah Bte HJ Othman. (2003).
Kriteria Penilaian bagi Perisian Penilaian. Dipetik:http://eprints.uthm.edu.my/975/1/24_Pages_from_KRITERIA_PENILAIAN_BAGI_PERISIAN_PENDIDIKAN_UNTUK_PENGAJARAN_DAN_PEMBELAJARAN_BERBAN.pdf.
(18 JULAI 2011)