Monday 21 November 2011

teknologi maklumat dalam pendidikan

markah aku 28 drpda 30... alhamdulillah... perisian yg saya guna perisian e-Budi... so... pa lg... ameklah sbgi panduan erk... hihihi... warning:jan amek ayat bulat2... coz assg ni antar on line... hihihi





PENGENALAN
Perkembangan dan perubahan dalam kemajuan sains, teknologi dan telekomunikasi telah mengalami suatu bentuk perhubungan dalam perpindahan maklumat dan ilmu pengetahuan. Istilah globalisasi atau dunia tanpa sempadan adalah manifestasi daripada kemajuan sistem maklumat atau komunikasi. Kemajuan ini telah membuka lebih banyak peluang penyebaran atau perkongsian ilmu tanpa mengira bangsa, budaya dan nilai seseorang. Integrasi ilmu dalam pendidikan pastinya dapat meningkatkan lagi kemajuan ketamadunan sesuatu bangsa dan negara. Ia bertepatan dengan jolokan abad ke 21 sebagai era maklumat dan ilmu pengetahuan. Berbanding dahulu penyebaran maklumat hanya melalui penggunaan mel udara dan telefon yang dikekangi oleh batasan waktu dan ruang.
Pada masa kini maklumat yang sama boleh dihantar dalam sekelip mata melalui kemudahan internet, satelit, telesidang dan sebagainya. Malah kualiti penerimaan maklumat yang disampaikan juga jauh lebih tepat dan mudah difahami. Persaingan masyarakat dunia yang lebih hebat dalam abad ke-21 dan perubahan dari era masyarakat industri kepada masyarakat bemaklumat telah menimbulkan cabaran baru kepada industri pendidikan. Beberapa perubahan dalam pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran telah berlaku. Di antaranya ialah perubahan fokus daripada pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan guru kepada pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Dalam hal ini, pelajar menjadi fokus kepada aktiviti pembelajaran yang berorientasikan proses penerokaan dan penemuan berdasarkan pendekatan teori konstruktivisme. Ahli-ahli konstruktivisme berpendapat bahawa pendidikan merupakan satu proses pembangunan pengetahuan yang aktif dan berlaku dalam diri seseorang melalui pengalaman, intepretasi dan interaksinya dengan persekitaran. Ia melibatkan interaksi sosial dan kolaborasi, di mana seseorang mendapatkan bantuan daripada orang lain untuk menambah pengetahuan sedia ada mereka
Selaras dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi, penggunaan komputer dan peralatan komunikasi telah berkembang dengan pesat dalam sektor pendidikan. Perkembangan ini diteguhkan lagi dengan peningkatan dalam tahap pencapaian pelajar melalui penggunaan teknologi berbanding dengan pendekatan tradisional sebelum ini. Pelbagai kajian rintis yang dilakukan oleh tokoh-tokoh pendidikan tersohor khususnya dari aspek pengajaran dan pembelajaran kolaboratif dengan menggunakan teknologi maklumat telah memberikan keputusan yang positif dan memberangsangkan untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran pembelajaran. Pengajaran Pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) terus menjadi strategi pengajaran dan pembelajaran untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dari semua aspek 4Falsafah Pendidikan Kebangsaan Negara.
Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) ialah pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan dengan menggunakan perisian kursus yang dihasilkan untuk disampaikan melalui komputer. Di Amerika PPBK lebih dikenali sebagai Computer Asisted Instructional (CAI) manakala di United Kingdom pula ia lebih dikenali sebagai Computer Aided Learning (CAL). Apapun istilah yang digunapakai, pada asasnya ia merujuk kepada penggunaan perisian komputer untuk pengajaran dan pembelajaran. Perisian komputer ini biasanya dikenali sebagai perisisan kursus. Perisisan kursus ini melibatkan perisisan yang menggabungkan pelbegai elemen seperti video, audio, teks, grafik dan animasi yang bertujuan untuk menyampaikan pengetahuan serta mewujudkan aktiviti pembelajaran yang berkesan. PPBK diasaskan kepada kaedah ‘programmed instruction’ dimana pengajaran dilakukan secara berperingkat dan dimulakan dengan pendedahan konsep atau fakta seterusnya diikuti dengan soalan-soalan yang berkaitan. Konsep atau fakta baru yang dibina akan berasaskan kepada apa yang diajar sebelum didedahkan kepada pelajar dan diikuti dengan soalan-soalan sehinggalah tamat suatu pengajaran. Alessi & Trollip (1991) mengatakan PPBK yang dilaksanakan dengan betul akan dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran.  Kenyataan ini juga turut disokong oleh Jensen (1996) apabila dapatan kajian yang dijalankannya telah mempunyai perbezaan pencapaian perbandingan pelajar yang menggunakan perisisan kursus dengan pelajar yang menggunakan kaedah konvensional. Pencapaian pelajar yang menggunakan perisisan kursus PPBK lebih baik daripada pelajar yang tidak menggunakannya. Malah Locked et al, (1989) juga mendapati kanak-kanak yang menggunakan perisian kursus berjaya mengekalkan tumpuan berbanding dengan kanak-kanak yang menggunakan kaedah biasa.
PPBK menggunakan beberapa jenis pendekatan interaksi pengajaran dan pembelajaran. Antara jenis-jenis interaksi yang popular ialah tutorial, latih-tubi, simulasi dan permainan dalam pendidikan. Setiap jenis interaksi ini mempunyai kelebihannya masing-masing. Ia boleh dibangunkan secara sendiri. Bagaimanapun, perisian yang menggunakan gabungan tutorial, latih-tubi, simulasi dan permainan pendidikan akan bersifat lebih interaktif dan menarik. Jenis pendekatan yang pertama adalah pendekatan tutorial.  Tiga perkara asas yang perlu ada dalam sesi tutorial iaitu isi pelajaran yang kemas, pengguna boleh menjawab soalan dan komputer memberi maklum balas. Dalam sesi tutorial pada asasnya, komputer akan mengajar pengguna sesuatu konsep atau teori yang baru. Pengguna kemudian akan berinteraksi dengan komputer mengikut kadar kendiri pengguna. Setelah konsep-konsep tertentu dipersembahkan kepada pengguna dan kefahaman pengguna diukur, komputer kemudiannya akan mengeluarkan arahan-arahan sama ada berbentuk pengulangan ataupun pengukuhan berdasarkan maklum balas pengguna.
Bagi pemilihan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan Komputer (PPBK) saya telah memilih perisian Eja Baca Ulang Dan Ingat (EBUDI). Perisian EBUDI telah menggabungkan penggunaan pendekatan jenis tutorial, latih tubi dan permainan yang lebih berunsurkan nyanyian. Tutorial digunakan untuk mempersembahkan bahan pengajaran yang baru dan mempunyai langkah-langkah penerangan yang tersusun. Tutorial bermula dengan bahagian pengenalan yang menerangkan kepada pelajar tentang perisian kursus yang digunakan termasuk objektif pembelajaran. Seterusnya diikuti dengan persembahan bahan pengajaran yang membawa kepada pengujian untuk mengetahui hasil dapatan pelajar daripada pengajaran yang disampaikan. Tutorial membolehkan pelajar belajar mengikut kemampuan masing-masing. Pelajar yang cerdas akan dapat menyiapkan tugasan dengan cepat berbanding dengan pelajar yang lemah dan perlu bimbingan. Latih tubi dapat menilai pemahaman pelajar atau pengukuhan dan ia dilaksanakan secara kendiri. Dalam latih tubi, pelajar diberikan beberapa soalan dan komputer akan memberi maklum balas berdasarkan jawapan mereka. Latih tubi juga menggalakkan pelajar menguasai suatu kemahiran atau pengetahuan dan melalui proses penilaian sebelum mempelajari bahagian-bahagian yang lain. Permainan yang diterapkan dalam EBUDI lebih berfokuskan kepada nyanyian. Walaupun ramai yang berpendapat kaedah permainan ini hasilnya pada tahap yang rendah tetapi bagi tahap kanak-kanak ia mudah untuk diingati dan maklumat dapat disimpan dalam jangka masa yang panjang. Selain itu  grafik dan multimedia yang menarik juga digunakan untuk memotivasi dan memberi maklum balas kepada pengguna.

Klasifikasi kategori perisian Eja Baca Ulang Dan Ingat ( EBUDI )
Antara muka montaj perisian









       




  
               Rajah 1     Rajah 2
Bagi permulaan perisian EBUDI, pengguna akan diperlihatkan montaj perisian seperti rajah 1 dan rajah 2. Pada rajah 1 para pengguna akan diperkenalkan siapakah yang telah membangunkan perisian tersebut. Pembangun perisian EBUDI ini adalah Cikgu Itaerdayu Shahidan dari SK Kangkar Pulai 2, Johor. Kemudian pengguna akan diperlihatkan paparan rajah 2 yang menerangkan apa itu sebenarnya EBUDI. Pada paparan ini terdapat anak panah yang menunjuk kearah kanan, ini bermakna dengan menekan anak panah tesebut maka para pengguna akan dibawa terus ke paparan menu utama. Sepanjang montaj ini juga, pembangun perisian ini telah menyelitkan elemen muzik dan elemen suara supaya pengguna tertarik dengan persembahan montaj tersebut.
Antara paparan muka menu utama






 


Rajah 3
Paparan muka menu utama seperti rajah 3 akan muncul setelah butang anak panah yang berada pada montaj ditekan. Pada paparan menu utama terdapat butang-butang yang diwakili oleh perkataan. Butang-butang tersebut terbahagi kepada 3 bahagian. Bahagian sebelah kiri dan kanan adalah sub menu, manakala butang yang berada pada bahagian tengah perisian adalah menu utama. Terdapat 4 menu utama iaitu Program Gegar minda, Bacaan Berperingkat, Mari Buat Latihan dan juga Mari Menyanyi. Dalam setiap menu utama terdapat  12 sub menu. Dalam menu utama Program Gegar Minda terdapat butang vokal, vokal dan konsonan, suku kata kv (a), suku kata kv (e), suku kata kv (i), suku kata kv (o), suku kata kv (u), suku kata kv + kv, suku kata kv + kvk, suku kata kvk + kv, suku kata kv + kv + kv, suku kata kv + kvkk. Apabila pengguna menekan butang sub menu maka paparan seperti Rajah 4 akan kelihatan. Pada paparan ini butang ‘X’ dan juga butang anak panah menunjuk kearah sebelah kiri akan muncul. Butang ‘X’ adalah butang keluar dari perisian manakala butang anak panah menunjuk kearah sebelah kiri adalah butang kembali ke laman sebelumnya. Selain itu pada paparan ini penguna akan diajar dengan sebutan vokal dan juga sebutan suku kata berserta dengan gambar.








Rajah 4

  Sepanjang pengguna menggunakan perisian EBUDI ini, pembangun telah memasukkan elemen muzik dan suara pada setiap pendekatan tutorial dan juga latihan atau latih tubi bagi menarik minat dan memberikan motivasi kepada para pengguna. Manakala gambar dan juga animasi yang terdapat pada setiap paparan dapat menarik perhatian para pengguna.
 

Antara paparan muka Bacaan Berperingkat




    


Rajah 5
Dalam menu utama Bacaan Berperingkat seperti rajah 5 terdapat butang sub menu Baju Nana, Baju Yana, Kuda Jali, Nuri, Susu Basi, Bola Ravi, Buku Ayu, Gigi Didi, Lori Bapa, Rama-rama, Datuk, Baju Pak Su, Lembu Pak Samad, Pak Mat, Zaki, Bapa, Ibu Salina, Johari dan Salima, Encik Wong Tukang Masak dan juga Kucing Lili. Pada paparan ini juga terdapat butang anak panah yang menunjuk kearah sebelah kiri. Fungsi anak panah tersebut adalah untuk para pangguna kembali ke menu utama ataupun ke paparan sebelumnya. Apabila para pengguna menekan butang sub menu maka paparan seperti rajah 6 akan dipaparkan. Semasa perkataan dipaparkan audio juga akan berbunyi secara automatik.










Rajah 6


Antara paparan muka Jom Buat Latihan








                                                           Rajah 7
              Paparan seperti rajah 7 adalah paparan bahagian Jom Buat Latihan. Butang sub menu yang terdapat pada Jom Buat Latihan adalah butang latihan 1 sehingga butang latihan 12. Apabila butang latihan ini ditekan maka paparan seperti rajah 8 akan kelihatan. Seperti paparan yang lain paparan Jom Buat Latihan juga mempunyai butang ‘X’ dan juga butang anak panah.



                                                               Rajah 8
            Paparan rajah 8 pengguna akan diarahkan untuk menjawab soalan atau mengisi tempat kosong dengan jawapan yang betul. Jikalau jawapan yang diberikan adalah betul maka pengguna boleh ke paparan seterusnya. Sekiranya jawapan yang diberikan salah maka perkatan ‘Cuba lagi!’ berserta audio ‘oo cuba lagi” akan muncul dan para pengguna perlu mencari jawapannnya yang sebenar. Pada paparan ini juga terdapat butang anak panah menunjuk kearah sebelah kanan dan tertulis ‘seterusnya’. Butang ini berfungsi untuk memeriksa jawapan para pengguna dan setelah jawapan yang diberikan betul para pengguna akan dibawa ke latihan seterusnya dengan audio ‘ya, adik pandai’.
Antara paparan muka Jom Buat Latihan




                                                              Rajah 9
         Paparan menu seperti rajah 9 adalah paparan menu Mari menyanyi. Sub menu yang ada adalah Lagu Huruf, Lagu Vokal, Lagu KV (i), Lagu KV (o), Lagu KV (u), Lagu KVK, Lagu KVKV, Lagu KVKVK, Lagu KVKKV, Lagu KVKKVK dan Lagu KVKVKK. Pada paparan ini pengguna akan diajar menyanyi mengikut rentak lagu-lagu kanak-kanak dan lagu-lagu rakyat.




Rajah 10

Antara paparan sub menu yang ada pada paparan Mari Menyanyi adalah seperti rajah 10. Pada paparan seperti rajah 10 terdapat butang yang diwakili gambar mikrofon dan tulisan nyanyi. Pada paparan ini para pengguna perlu menekan butang tersebut untuk mendengar audio nyanyian sebenar setiap lagu.


Dapatan penilaian perisian PPBK EBUDI
Robiah Sidin (1992) mengatakan, penilaian ialah satu prinsip untuk mengukur pencapaian secara sistematilk. Justeru itu penilaian terhadap perisian PPBK adalah sangat penting untuk memastikan perisian tersebut dapat membantu pelajar untuk mewujudkan pengajaran pembelajaran yang berkesan. Walaupun penilaian yang dijalankan memakan masa, ia dapat memastikan perisian tersebut sesuai digunakan oleh pelajar. Penilaian merangkumi beberapa aspek agar kelemahan-kelemahan dapat dikenalpasti dan pemilihan tepat dapat dilakukan. Aspek yang hendak dinilai hendaklah bergantung kepada tujuan penilaian dilakukan.
Saya telah menjalankan penilaian untuk menilai perisian ini. Saya menjalankan penilaian kepada guru-guru Bahasa Melayu dan berfokuskan kepada guru-guru yang mengajar Literasi, LINUS. LINUS adalah suatu program yang dirancang oleh Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang menyasarkan bahawa semua murid dapat menguasai asas membaca kecuali murid yang berkeperluan khas. Oleh kerana perisian EBUDI menyasarkan kepada murid yang tidak boleh menguasai bacaan (tidak boleh membaca) soal selidik ini saya lakukan kepada guru yang mengajar literasi LINUS.
Didalam borang soal selidik yang saya sediakan saya telah membahagikan kepada tiga kriteria iaitu isi kandungan, aspek teknikal dan dokumentasi. Bagi kriteria isi kandungan saya telah membahagikannya kepada tiga bahagian iaitu ketepatan, kesesuaian dan skop. Dapatan daripada ketepatan yang menilai maklumat seperti bebas daripada kesilapan, maklumat terkini, pendapat yang tidak berat sebelah, sesuai dengan kebudayaan dan agama dan penggunaan bahasa yang betul  semua penilai amat bersetuju bahawa aras ketepatannya sangat tinggi. Bagi kesesuaian pula yang menilai tentang konsep dan bahasa sesuai dengan tahap pelajar, maklumat sesuai dengan objektif yang disasarkan dan interaksi komputer-pelajar sesuai dengan tahap pelajar guru-guru juga memilih dengan aras yang tertinggi. Manakala bagi skop yang menilai kandungan yang disampaikan berada dalam skop topik yang diajar serta kandungan yang disampaikan mengikut susunan juga dipilih pada aras tertinggi. Hanya pada kepelbagaian dan kesesuaian aktiviti terdapat 7 orang daripada 10 orang penilai yang memilih pada aras tertinggi, manakala 3 orang daripadanya memilih untuk EBUDI ini perlu dipelbagaikan lagi. Ulasan yang diberikan penilai-penilai berpendapat sekiranya disediakan kategori untuk simulasi ia adalah lebih baik kerana murid-murid yang terkategori dalam pelajar LINUS ini, ingatan mereka hanya pada ingatan jangka pendek. Sekiranya terdapat simulasi seperti menunjukkan murid menulis secara atas udara atau simulasi yang menunjukkan murid membentuk huruf menggunakan plastisin ia akan menghasilkan pengajaran pembelajaran yang lebih berkesan dan menyeronokkan.
Bagi kriteria aspek teknikal, saya juga membahagikan kepada empat bahagian iaitu navigasi, ciri-ciri penyimpanan rekod, persembahan dan kualiti. Navigasi menilai maklumat yang dicari mudah dan cepat, penggunaan menu, ikon dan arahan yang intuitif , mempunyai pilihan untuk mengawal perjalanan perisian atau berhenti untuk keluar serta bunyi yang boleh dikawal guru-guru memberi penilaian pada aras tinggi. Ulasan yang diberikan, perisian ini mudah untuk dikongsi bersama guru-guru kerana hanya berkapasiti rendah iaitu 58.4 MB yang memudahkan untuk di simpan dalam ‘thumb drive’ dan bunyi yang disediakan jelas walaupun pengawal bunyi tidak disediakan tetapi bunyi boleh dikawal daripada speaker atau pembesar suara yang terdapat dalam komputer riba. Pada penilaian ciri-ciri penyimpanan rekod pula, guru-guru sangat tidak bersetuju kerana tidak ada kemudahan untuk mencetak maklumat, menyimpan maklumat, mengambil dan menyimpan nota serta rekod penggunaan perisian. Ulasan yang diberikan menyatakan, guru-guru sukar untuk merujuk semula bahagian topik yang telah dikuasai dan yang belum dikuasai pelajar kerana tidak ada data penyimpanan ataupun rekod bagi setiap orang murid. Persembahan yang menilai kepada isi kandungan yang disampaikan dapat merangsang pelajar, aktiviti yang menggalakkan penyelesaian masalah secara kreatif, maklum balas yang membina, kemudahan untuk mendapatkan bantuan, susun atur paparan yang baik, penerangan yang mencukupi,teks yang mudah dibaca penilai-penilai bersetuju dengan memilih pada aras yang tertinggi. Manakala kualiti yang menilai kepada visual yang sesuai dengan pelajaran, audio yang jelas dan mudah difahami dan suara serta muzik yang berkaitan dengan paparan juga di nilai pada tahap yang terringgi.
Dalam kriteria dokumentasi saya juga telah membahagikan kepada dua aspek iaitu teknikal dan panduan pengguna. Bagi aspek teknikal yang menilai tentang keperluan peralatan dan sistem operasi komputer, penilai memilih pada aras tertinggi dan ulasan yang diberikan ia menepati dengan perisian yang ada pada masa kini kerana menggunakan perisian adobe yang tidak mengubah mana-mana bahagian. Bagi penerangan tentang pengoperasian perisian dan bantuan melalui telefon penilai hanya memilih pada tahap sederhana kerana tidak ada perkhidmatan yang disediakan. Walau bagaimanapun, daripada ulasan penilai PPBK EBUDI ini tidak memerlukan teknikal telefon kerana ia telah disediakan dalam cara yang mudah difahami oleh semua peringkat sasaran. Panduan pengguna yang menilai mengenai maklumat tentang kumpulan sasaran, ringkasan kandungan perisian, objektif pembelajaran, cadangan cara penggunaan dan bahan pengajaran dan pembelajaran tambahan. Penilai juga hanya memilih pada tahap sederhana.
  
KESIMPULAN
Pada keseluruhannya, dapatan kajian daripada hasil soal selidik keatas penilaian Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) Eja Baca Ulang Dan Ingat atau EBUDI telah, menunjukkan bahawa reka bentuk perisian latih tubi dan tutorial  ini sesuai dan menepati keperluan perlaksanaan proses pengajaran pembelajaran berbantukan komputer bagi matapelajaran Bahasa Melayu. Ini menunjukkan bahawa pengintegrasian tiga strategi pembelajaran serta strategi penerapan nilai-nilai murni menerusi aspek isi kandungan, aspek teknikal dan aspek dokumentasi membolehkan pengwujudan suasana dan persekitaran pengajaran pembelajaran berbantukan komputer
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru merupakan orang yang paling hampir dengan pelajar, pakar kepada subjek yang diajar dan mengenali serta mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar. Dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, media teknologi digunakan sebagai satu wahana untuk mengoptimumkan hasil pembelajaran. Antara contoh media teknologi yang digunakan ialah televisyen, radio, video, perisian komputer, perisian kursus, dan internet. Memandangkan penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah penting, kemahiran komputer guru-guru juga menjadi aspek utama. Tanpa kemahiran mengendali dan memanipulasi sesuatu alat, betapa hebat dan canggihnya peralatan tersebut tidak akan memberi kesan atau faedah. Begitu juga dengan komputer, walaupun terdapat banyak kelebihan dan kekuatan menggunakan komputer dalam pengajaran sekiranya ia tidak digunakan, maka samalah ertinya seperti kayu buruk yang menunggu masanya hanya untuk reput.
Guru-guru mempunyai persepsi yang sangat baik terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran sama ada dari segi penggunaan perisian kursus atau penggunaan internet. Namun, kekangan masa yang disebabkan tugas yang begitu banyak di samping kemahiran dan pengetahuan yang terhad, maka guru tidak dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan itu dalam pengajaran mereka. Sesuatu strategi pengajaran menggabungkan pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran untuk mencapai kesan pengajaran yang optimum. Strategi yang baik akan menggunakan masa, tenaga serta kos yang paling sedikit tetapi menghasilkan kesan pengajaran pembelajaran yang paling maksimum. Penggunaan media komputer dan internet mempunyai potensi untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan bermakna. Justeru itu, warga pendidik perlu dibantu bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi ini dalam proses pengajaran. Dengan ini, guru-guru dapat menyahut cabaran pada masa depan dengan lebih yakin. Institusi pendidikan sebagai wadah terpenting perlu mengalami perubahan lebih awal berbanding dengan institusi-institusi lain ke arah mencapai matlamat tersebut. Potensi dan kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya.


(2778 patah perkataan)

  
APENDIKS
RUJUKAN
1.     Kassim Bin Abbas. (2009). Media Dalam Pendidikan. Perak. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
2.     Mok Soon Sang. (2007). Pengajaran dan Pembelajaran. Selangor. Multimedia-ES Resources Sdn. Bhd.
3.     Omar Zakaria et al. (2011). HBEF2303 Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan. Selangor. OUM.
4.     Zamri Mahamod, Mohamad Amin Embi. (2008). Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Selangor. Karisma Publications Sdn Bhd.
5.     Masrulisah Md Ismail. (2003). Pengajaran Dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK). Dipetik: http://www.ipislam.edu.my/edu3105/hasil-pelajar/PPBK.htm. (18 JULAI 2011).
6.     Mohd Aris bin Othman. (2007). Keberkesanan Kaedah Pengajaran Berbantukan Komputer. Dipetik:http://eprints.usm.my/9087/1/KEBERKESANAN_KAEDAH_PENGAJARAN_BERBANTUKAN_KOMPUTER.pdf. (18 JULAI 2011).
7.     Faizal Hakimi. (2011). Jenis-jenis Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer. Dipetik: http://fhakimi.blogspot.com/2011/03/jenis-jenis-pengajaran-dan-pembelajaran.html. (18 JULAI 2011).
8.     Khairul Bariyah Bte HJ Othman. (2003). Kriteria Penilaian bagi Perisian Penilaian. Dipetik:http://eprints.uthm.edu.my/975/1/24_Pages_from_KRITERIA_PENILAIAN_BAGI_PERISIAN_PENDIDIKAN_UNTUK_PENGAJARAN_DAN_PEMBELAJARAN_BERBAN.pdf. (18 JULAI 2011)


BROWSER




 

No comments:

Post a Comment